"Saya suka masak kari, tapi rasanya tak sesedap yang saya makan di kedai. Terutamanya di restoran mamak. Apa rahsia mereka ya?".

Kali ini, RASA ingin berkongsi 15 rahsia untuk memasak kari yang sedap. Ada sesetengah daripada tip ini yang mungkin akan mengejutkan anda. Ayuh, teruskan membaca!

KARI AYAM atau DAGING

  1. Rempah kena garing, tetapi jangan sampai hangus, selalu orang bancuh serbuk kari dengan air. Tapi sebenarnya kena tumis bawang dan bahan lain, kemudian masukkan rempah kari. Goreng pantas selama 1-2 minit dan masukkan air. Tak perlu banyak, cukup sekadar mencairkan rempah. Perlahankan api sehingga terbit minyak.
  2. Kemudian barulah masukkan daun kari dan kentang. Masukkan pula daging atau ayam. Biarkan sehingga ayam atau daging mengecut, barulah ditambah air.
  3. Apabila sudah dimasukkan air, masukkan pula santan atau susu segar. Perlahankan api dan biarkan kuah mereneh.
  4. Apabila kentang sudah empuk, masukkan asam gelugur atau sedikit jus asam jawa sebelum diperasakan dengan garam.
  5. Antara rempah yang boleh menyedapkan kari adalah bunga lawang, pelaga dan kayu manis.
  6. Cara memasak kari daging adalah lebih kurang seperti kari ayam cuma kebanyakan orang utara lebih suka memerap daging dengan rempah kari sebelum dimasak. daging akan menjadi lebih lembut. aroma kari juga akan meresap ke dalam daging dan menjadikan kuahnya lebih sedap.

KARI IKAN

  1. Untuk kari ikan yang sedap, anda boleh masukkan 1 sudu besar beras yang disangai dan ditumbuk halus selepas selesai menumis. Kacau rata.
  2. Jika anda menggunakan ikan yang hanyir, campurkan asam jawa dan ramaskan bersama santan. Ia dapat memotong bau hanyir ikan.
  3. Ketika menumis, anda boleh masukkan sedikit garam untuk menggaringkan rempah dengan baik.
  4. Untuk menyedapkan lagi kari ikan, anda boleh 'patahkan' 2-3 biji cili hijau dan masukkan ke dalam kari selepas masukkan ikan.
  5. Jika anda mahu menggunakan bendi di dalam kari, ia tidak perlu dicampur sekali. Anda hanya perlu merebus bendi dalam air yang dimasukkan sedikit minyak dan garam (jangan terlalu lama). Ketika mahu menghidang kari, baharulah dimasukkan bendi (ini adalah optional).
  6. Sebelum anda masukkan ikan ke dalam kari, pastikan kuah kari sudah menggelegak. Jika tidak, isi ikan mudah hancur dan membuatkan kuah menjadi hanyir.
  7. Apabila ikan sudah masak, kecilkan api untuk biarkan ia terbit minyak dan tidak perlu terlalu lama.
  8. Ketika menumis, gunakan rempah seperti biji sawi, halba dan jintan putih/halus. Elakkan jintan manis kerana ia akan merosakkan rasa kari.
  9. Jika mahukan rasa kari yang lebih sedap, masaklah sehari sebelum dimakan. rasa rempah dan santan akan menjadi lebih sebati dan kuahnya juga akan memekat. Apabila dipanaskan, rasanya lebih sedap.