Geylang, si paku Geylang,

Geylang, si rama rama.

Pulang, marilah pulang,

Marilah pulang bersama-sama.
 
Jika anda masih ingat pada lagu ini pasti anda membayangkan mengenai sebuah tempat bernama Geylang yang disebutkan di dalamnya.Geylang ialah sebuah bandar di Singapura yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada orang Melayu dan keturunan Arab yang kaya khususnya dari keluarga Alsagoff, Alkaff dan Aljunied.
 
Selain komuniti terbesarnya masyarakat Cina, masyarakat Jawa, Melayu dan Arab juga turut mempengaruhi dunia pemakanan di Singapura ,tidak hairan sekiranya masakan di Singapura mempunyai keenakan tersendiri oleh kepelbagaian pengaruh etnik di sana.
 
Tidak hairanlah mengapa pasangan berasal dari Geylang Singapura iaitu Haji Hussein Taha, dan isterinya, Hajjah Pujiah Subari cuba mengenengahkan menu masakan Singapura di Geylang Kopitiam milik mereka. Geylang Kopitiam yang beroperasi di Lembah Klang ini kini telah mempunyai tiga cawangan iaitu di Kompleks PKNS dan Taman Tun Dr Ismail Shah Alam serta di UEP Subang Jaya.
 
Penulis yang menyelaraskan kolum ruangan Makan Di Mana, sempat membuat kunjungan ke salah sebuah cawangan Geylang Kopitiam yang terletak di USJ 9/5, UEP Subang Jaya. Ternyata kopitiam yang terletak di sebuah unit kedai lot tepi ini mempunyai identitinya yang tersendiri. Diadun dengan dua elemen retro dan moden ternyata pemiliknya seorang yang mahir dan bercitarasa tinggi di dalam idea mendekorasikan restoran.
 
Dari luar lagi, suasananya begitu mengujakan dan selangkah kaki menjejak ke dalamnya, alangkah kagum melihat dekorasi yang diilhamkan seperti kedai makan ala tahun 60-an. Bingkai pintu yang diperbuat daripada kayu rel keretapi memberi gambaran bahawa pemilik juga pandai bermain dengan material kayu dan dua lapis cermin tebal yang diletakkan di kiri kanan pintu masuk tampak begitu mendamaikan apabila percikan air terbit Razali bersama daripada celah-celah cermin.
 
 ANTIK
Penggunaan meja kopitiam berbentuk empat segi dan bulat pelbagai saiz dan kerusi yang tampak antik juga memberikan kekemasan ruang pada restoran. Tidak terlalu padat, justeru itu ia mudah dialihkan dan sekiranya pelanggan ramai di dalam satu-satu masa mereka boleh memilih untuk duduk di sebelah luar kaki lima restoran.
 
Apa yang menarik di Geylang Kopitiam, di satu sudut dipamerkan barangan antik seperti seterika arang, mangkuk tingkat, replika kapal mini dan beca yang pasti menggamit memori era-60an. Foto-foto lama juga menghiasi di ruang dinding yang kosong bagi menghidupkan suasana kedai seperti berada di era 60an. Namun apa yang lebih menarik, poster gergasi yang yang memaparkan sebuah tram yang bernombor dua berlaluan ke Tanjong Pagar dan Geylang.
 
“Sebenarnya ibu bapa Haji Hussin sememangnya mempunyai kedai makan di sana dan dikenali ramai dengan sajian mi rebus dan sate. Bagi menyambung warisan itu dia membuka kopitiam ini,” ujar Encik Razali Zahidin, Pengurus Besar Geylang Kopitiam.
 
Selain menjual menu mi rebus dan sate, sup tulang ketuk adalah yang terlaris di sini. Ini kerana sup tulang ini kuahnya berwarna merah dan pekat. Rasanya juga enak dan menarik perhatian pelanggan,” jelasnya lagi.
 
Menu lain yang turut menjadi pilihan ialah kacang phool (RM6.30), mi soto (RM4.80), soto ayam (RM4.80), Nasi Lemak Ayam Pandan (RM5.80), Nasi Ayam Penyet (RM6.30), Nasi Lemak Paru Dendeng (RM5.80). Mi Siam Singapura, Lontong Goreng (RM5.30), Roti John Cheese (RM4.80), Tauhu Telur Kicap (RM8.80). Yi Mi Singapura (RM5.80), Nasi Kerabu Ayam Percik (RM8.80) dan banyak lagi.
 
“Biarpun makanan-makanan di sini pelbagai dan bercitarasa tinggi, apa yang boleh saya katakan harganya juga murah dan sangat berbaloi dengan makanan yang akan disajikan. Mungkin kerana keistimewaan datangnya daripada resipi asli makanan Melayu di Geylang Singapura. Resipinya juga turun temurun,” cerita Razali lagi.
 
Menariknya, menurut Razali, restoran ini turut mendapat perhatian daripada pengunjung dari Singapura yang datang pada setiap kali cuti umum dan mereka yang berasal dari Singapura tetapi menetap di sini. Mungkin dengan cara ini mereka dapat melepaskan rasa rindu terhadap menu ibunda mereka.
 
Geylang Kopitiam dibuka setiap hari dari jam 8 pagi sehingga 12 malam.