Lagi pula Mohammad Razil Azrai, 14, Mohammad Raizal Azrai, 14, Mohammad Naim Azrai, 7 dan Mohammad Adam Azrai, 4, begitu cerewet soal makan. Justeru itulah Zarina akan cuba menyeimbangkan pemakanan anak-anak dan akan memastikan makanan sentiasa ada di
dalam peti sejuk di rumahnya.
 
“Saya akan memasak sendiri makanan untuk anak-anak. Setiap pagi, selepas subuh saya akan terus ke dapur menyediakan sarapan dan menyediakan bekalan makanan untuk anak-anak sebelum ke sekolah,” ujarnya membuka bicara.

BEKAL

Anak-anaknya sudah dilatih untuk tidak menjamah makanan luar. Justeru itulah Zarina menyediakan bekal untuk anak-anaknya. Ini bagi memastikan anak-anaknya tidak menikmati makanan sebarangan yang tidak berkhasiat.

“Saya memang cerewet tentang apa yang dimakan oleh anak-anak. Kalau masak sendiri, saya tahu apa hidangan terbaik untuk anak-anak saya. Biasanya untuk bekal, saya akan sediakan roti sosej, sandwich ataupun nasi goreng.

“Saya jarang membawa anak-anak makan makanan segera di luar. Kalau mereka teringin sangat, saya akan sediakan sendiri hidangan seperti yang terdapat di restoran makanan segera itu untuk mereka. Cuma sekali-sekala saja, sekiranya kebetulan membeli belah,
saya akan membawa mereka singgah di restoran makanan tertentu,” jelasnya. Menurut Zarina, anak-anaknya mempunyai makanan kegemaran masing-masing dan tidak suka makanan pedas. Persamaan mereka berempat ialah kesemuanya menyukai makanan
Barat. Mudah bagi Zarina kerana memasak hidangan Barat tidaklah sesukar mana. Cuma dia akan pastikan makanan pedas tidak ada di dalam menu untuk anak-anak.

“Kalau menyediakan hidangan keluarga saya akan menyediakan dua set masakan. Masakan untuk anak-anak dan masakan untuk saya serta suami. Anak-anak saya memang tidak boleh melihat makanan pedas atau hidangan bercili. Mereka tidak akan sentuh dan
tidak akan menjamahnya. Biasanya untuk anak-anak, saya akan memasak sotong goreng tepung yang dihidangkan bersama nasi ataupun brokoli kukus lada sulah. Anak-anak saya memang tak suka makan sayur. Hanya sayur tertentu saja yang mereka sukai. Abang
suka makan sayur kacang buncis, adik suka makan brokoli. Naim dan Adam pula cendawan dan saya akan sediakan sup cendawan untuk mereka,” ceritanya panjang lebar mengenai kesukaan anakanaknya.

Bercerita lanjut mengenai caranya memastikan hidangan yang disediakan untuk anak-anak, menu berkhasiat, kata Zarina, “Kalau membeli sayur dan buah, saya akan pastikan mengambil yang segar-segar sahaja. Biasanya saya akan pastikan anak-anak menikmati hidangan sayur. Memang sukar menggalakkan mereka menikmati sayur, sebab itu saya akan menyediakan jus sayur atau buah.

MINYAK ZAITUN

Selain itu saya menggunakan minyak zaitun untuk memasak. Anak-anak suka makan Nasi Goreng Cina. Jadi, saya akan menumis bawang bersama minyak zaitun dan sedikit mentega untuk menjadikannya lebih sedap, kemudian barulah dimasukkan udang segar, sayur-sayuran dan nasi. Barulah anakanak akan berselera untuk makan dan sekaligus mendapat menu berkhasiat,” ujarnya.

Sambil berbual perihal pemakanan anak-anak, Zarina cekap menguli roti dan membakarnya di ketuhar. Kagum melihat kesungguhan Zarina menyediakan juadah untuk anakanaknya pada hari itu. Selain menu Roti Sosej, Ban Kacang Merah dan Spageti Makanan Laut Olio Olio, Zarina juga menyediakan Jus Lobak Merah, Kek Coklat Lembab dan Puding Biskut Marie sebagai hidangan untuk anak-anaknya.

“Memasak merupakan minat saya. Sebab itulah saya akan belajar daripada kawan-kawan yang lebih tua daripada saya dan pergi ke bengkel-bengkel masakan untuk belajar lebih mendalam lagi mengenai masakan. Saya juga akan membawa pembantu rumah.
Alhamdulillah, inilah hasilnya. Sekarang saya boleh memasak pelbagai menu kegemaran anak-anak saya,” ujarnya mengakhiri perbualan.


SPAGETI MAKANAN LAUT OLIO-OLIO

BAHAN-BAHAN:
250gm spageti | direbus dan
ditoskan
3 biji bawang putih |
ditumbuk
20gm sotong | dipotong
20gm udang
Daun thyme secukupnya
Garam secukup rasa
Minyak zaitun secukupnya

CARA MEMASAK:
1 Panaskan minyak zaitun secukupnya di dalam kuali. Tumis bawang putih sehingga wangi.
2 Selepas itu masukkan sotong dan udang. Kacau sebentar sehingga masak.
3 Kemudian masukkan spageti, daun theme dan garam secukup rasa. Kacau sebentar sehingga rata.
4 Angkat dan sedia dihidangkan.


BAN KACANG MERAH

BAHAN-BAHAN:
250gm kacang merah |
siap dimasak dan boleh dibeli di
kedai bakeri
370gm tepung roti
60gm gula kastor
120ml air
10gm yis
40gm mentega
1 biji telur
1 ½ sudu makan susu
tepung
½ sudu teh garam
1 sudu teh pelembut roti
Kuning telur secukupnya
Bijan secukupnya

CARA MEMASAK:
1 Satukan tepung roti, susu tepung, garam, gula kastor dan pelembut roti ke dalam mangkuk adunan.
2 Kemudian masukkan telur, yis dan mentega. Pukul dengan mesin pemukul sehingga adunan tidak melekat.
3 Keluarkan dan masukkan ke dalam bekas dan tutup dengan kain lembab. Jemur di antara 3 hingga 4 jam.
4 Uli doh dan bahagikan doh kepada beberapa bahagian. Bulat-bulatkan doh.
5 Sudukan inti kacang merah dan masukkan ke dalam doh. Tekankan sedikit.
6 Sapukan kuning telur di atasnya dan ratakan bijan.
7 Bakar dengan suhu 140ºC selama 15 hingga 20 minit.
8 Keluarkan dan sedia dihidangkan.