Kali ini RASA berpeluang mendapatkan Ina Naim untuk ruangan Dunia Masakan Selebriti. Biarpun baru saja tamat tempoh berpantang dan diberitahu ketika itu dalam proses mahu berpindah rumah, Ina tampaknya tidak mahu menghampakan pembaca RASA.

Pada tarikh yang dijanjikan, RASA pun membuat berkunjung ke rumahnya yang terletak di Bandar Sri Damansara. Sebaik mengetuk pintu dan memberi salam, Ina sendiri yang membuka pintu dan mempelawa RASA masuk ke dalam kediamannya. Ternyata dia masih langsing dan cantik biarpun sudah beranak dua. Kebetulan pada masa itu, suami Ina, Suhaimi Saad pun turut berada di rumah. Jadi kesempatan tersebut, RASA sempat merakamkan aksi mereka di meja makan dan mengadakan temubual bersama mereka berdua.

Masakan Pedas

Sedang jurugambar merakamkan menu set tengahari iaitu Masak Lemak Ayam Cili Padi Penawar Rindu, Kacang Goreng Lukisan Hati, ayam goreng dan nasi, RASA sempat berbual dengan Ina mengenai caranya menyediakan masakan untuk keluarga.

Kata Ina, "Macam inilah resipi yang Ina selalu sediakan untuk keluarga. Biasanya ringkas saja kerana ahli keluarga tidak ramai. Namun begitu saya akan pastikan masakan yang disediakan pedas kerana kami sukakan masakan pedas".

Antara masakan kegemarannya ialah Masak Lemak Cili Api. Ini kerana masakan tersebut sangat sedap dan pedas. Selain itu, tambah Ina, dia sekeluarga juga suka makan Sup Ayam dan laksa. Suhami memang pandai masak laksa Utara.

"Sebab itulah kalau nak pergi manamana, Ina tak kekok memikirkan apalah yang nak diberi kepada anak sulung, Ehmed Hadie Elfardie (2 tahun 10 bulan ketika rencana ini ditulis). Ehmed pun boleh tahan juga dan suka masakan
pedas.
"Cuma dalam tempoh berpantang ini, Ina cuba kurangkan pengambilan makanan pedas, kerana takut alahan pada anak bongsu, Salman El Kyoyri, 2 bulan," jelasnya.

Penggemar bayam

Namun begitu,di dalam menyediakan juadah untuk keluarga, Ina sangat mementingkan makanan yang seimbang, berkhasiat dan tidak berminyak. Sayur-sayuran penting baginya kerana sangat bagus dan berkhasiat. Antara sayuran kegemaran Ina dan keluarga ialah bayam dn ulamulaman kampung.

"Keluarga Ina suka makan bayam. Ehmed pun suka. Kalau ada daging, ayam atau ikan, pasti ada sayur. Jadi Ina tak hadapi masalah untuk menggalakkan anak menikmati hidangan sayur. Biasanya dalam seminggu dua tiga kali juga Ina sediakan menu bayam selain sayuran lain yang bagus untuk kesihatan. Selain baik untuk kanak-kanak, bayam juga bagus untuk ibu yang menyusu kerana boleh memperbanyakkan susu badan," jelasnya. Menariknya, di dalam menyempurnakan tugas seorang isteri dan ibu, Ina bertuah mendapat suami yang ringan tulang membantu Ina di rumah. Menurut Ina, sejak awal perkahwinan lagi, suaminya rajin membantu Ina di dapur.

"Dari dulu lagi terutama ketika mengandung dan dalam pantang, suamilah yang rajin turun ke dapur. Dia cekap memasak dan mendapat ilmu masakan daripada arwah ibunya. Alhamdulillah, masakannya sedap. Jadi, kalau teringin nak makan Ikan 3 Rasa, tomyam, sup, laksa, mi kari, Suhaimi akan menyediakannya," ceritanya lagi.

Tampaknya, sejak mempunyai anak dua ini, rezeki Ina dan Suhaimi semakin bertambah-tambah. Mungkin kerana rezeki anak agaknya. Ina kini sudahpun bergelar duta produk busana muslimah dan menjadi model dan duta produk tersebut. Butik untuk produk tersebut dibuka di Shah Alam awal tahun ini.

AYAM PENAWAR RINDU

BAHAN-BAHAN:

  • 1/2 ekor ayam } dipotong
  • 21 biji cili api
  • 1 bawang besar
  • 1 bawang putih
  • 2.5cm halia
  • 1cm kunyit hidup
  • 1 batang serai } dititik
  • 250ml santan pekat
  • 250ml santan cair
  • 1 keping asam gelugor
  • Garam secukup rasa


CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak masak di dalam periuk. Tumis bawang,halia,cili dan kunyit yang ditumbuk. Kacau rata sehingga pecah minyak.
  2. Selepas itu masukkan serai yang dititik dan asam keping. Kacau seketika.
  3. Masukkan santan cair. Kacau sehingga mendidih.
  4. Kemudian masukkan santan pekat. Gaul rata.
  5. Selepas itu masukkan ayam dan perasakan dengan garam secukup rasa. Kacau sebati sehingga mendidih dan ayam masak.
  6. Angkat dan sedia dihidangkan.



KACANG GORENG LUKISAN HATI

BAHAN-BAHAN:

  • 100gm kacang panjang } dipotong
  • 1 biji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 biji cili masak
  • 7 ekor udang } dibersihkan
  • 10 biji bebola ikan
  • 1 biji lobak merah } dihiris
  • Garam secukup rasa


CARA MEMASAK:

  1. Panaskan minyak masak di dalam kuali. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili yang telah dihiris sehingga layu.
  2. Selepas itu masukkan udang dan bebola ikan. Kacau rata sehingga masak.
  3. Masukkan kacang panjang dan lobak merah. Gaul sebati sehingga layu.
  4. Perasakan dengan garam secukup rasa. Kacau sebentar.
  5. Angkat dan sedia dihidangkan.