Biarpun sibuk menguruskan butiknya, Dynas tetap turun ke dapur menyediakan hidangan untuk keluarganya. Baginya, di dalam bidang masakan, dia lebih menyukai menu yang lebih mudah dimasak kerana masa yang terhad. Tambahan pula suaminya menggemari menu Barat dan agak cerewet mengenai masakan.

"Suami saya menggemari Spageti Oleo, Fetuccine Sos Krim dan pelbagai jenis masakan pasta yang lain. Saya akan memasak menu kegemarannya itu jika diminta. Selain itu, saya juga suka menyediakan finger food berasaskan roti seperti jejari keju," ujarnya.

Berlainan pula anaknya, Khyra Khalyssa yang menggemari masakan Melayu. Menurut Dynas, anaknya itu sangat menggemari menu nasi bersama lauk pauk seperti Ayam Masak Kicap, ikan goreng, ikan bilis, suhun, bebola ikan dan sayur-sayuran terutama lobak merah.


LOKASI MAKAN

Oleh kerana Dynas begitu gemar menikmati pelbagai makanan enak, tidak hairanlah dia sentiasa mencari lokasi makan yang menarik untuk dijelajahi.

"Kadang-kadang tu kalau nak ke sesuatu tempat, saya akan mencarinya di laman web. Saya sanggup memandu jauh untuk mendapatkan makanan yang enak. Pernah suatu ketika dahulu saya ke Johor Bahru semata-mata untuk makan Ikan Pari Bakar dan Longan Panas. Rasanya memang sangat sedap. Selain itu, saya juga menggemari laksa dan Rojak Mamak di Langkawi. Kalau dapat makan tu memang seronok," ujarnya teruja.


JADUAL PADAT TETAPI TETAP SEMANGAT

Selesai berbual soal makanan, penulis sempat bertanya tentang perkembangan terbaru ibu jelita ini. Jawabnya, dia akan muncul sebagai juri dalam rancangan Chef Cilik terbitan Astro yang bakal ditayangkan. Program realiti itu merupakan pertandingan masakan di antara kanak-kanak.

Tambahnya lagi, dia juga akan menjalani penggambaran sebagai hos untuk program bicara tentang cinta dan perkahwinan bersama RTM.

Walau sibuk dengan tugasan aktres peramah ini sempat berkongsi resipi dengan RASA khas buat tatapan pembaca. Ikuti paparan di bawah untuk resipi selebriti ini. Selamat mencuba!
Selain itu, Dynas juga turut terlibat dengan rancangan Kembara Kami saluran Astro bersama enam rakan yang lain iaitu Sazzy Falak, Atilia Harun, Aisyah Sinclair, Daphine Iking, Yasmin Hani dan Serena C.


KARIPAP KENTANG


BAHAN KULIT KARIPAP:

  • 180gm tepung gandum
  • 2 sudu makan air ais
  • 1 biji telur
  • 3 sudu makan mentega
  • Secubit garam


BAHAN INTI:

  • 2 biji kentang- dipotong dadu
  • 30gm daging cincang
  • ½ labu bawang besar
  • 2 sudu makan rempah daging
  • Garam dan gula secukup rasa



CARA MEMASAK:

  1. Tumis bawang besar sehingga wangi di dalam kuali. Kemudian, masukkan serbuk rempah daging dan kacau hingga pecah minyak.
  2. Selepas itu, masukkan daging cincang dan gaul rata.
  3. Masukkan kentang dan kacau hingga empuk. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  4. Angkat dan ketepikan.
  5. Untuk membuat kulit karipap, campurkan tepung gandum, garam dengan mentega dan adun sebati.
  6. Setelah itu, masukkan telur dan ais. Adun sehingga menjadi doh. Jangan uli terlalu lama supaya doh tidak liat.
  7. Kemudian, canai doh dan jadikan ia rata dan nipis. Potong doh menjadi bentuk bulat.
  8. Letakkan inti secukupnya, dan lipatkan doh menjadi separa bulat dan kelim hujungnya sehingga kemas. Ulang proses hingga inti dan kulit habis.
  9. Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng karipap hingga warna kuning keemasan.
  10. Angkat dan hidangkan. Sedia dinikmati.