Kehebatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam melahirkan graduan berkualiti dan berprestasi tinggi terutama dalam bidang Seni Kulinari sudah tidak dapat disangkalkan lagi. Ini dibuktikan dengan kewujudan chef-chef ternama dan tersohor dalam industri seperti Encik Johari Edrus atau dikenali sebagai Chef Jo, Chef Ismail, Chef Zam (pengasas kolej kulinari Silverspoon sebagai Chef Jo, Chef Ismail, Chef Zam (pengasas kolej kulinari Silverspoon International), Chef Sabri dan lain-lain nama besar lagi.

Justeru, tidak hairanlah jika UiTM dianggap sebagai pelopor utama program seni kulinari di peringkat akademik kerana telah mula bertapak sejak tahun 1975 dengan angkatan pertama para pelajarnya. Dalam usia menghampiri angka 40 tahun, Jabatan Seni Kulinari dan Gastronomi di bawah Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan telah berjaya menghasilkan graduan-graduan kulinari yang kini menjadi peneraju bidang kulinari dan penyediaan makanan tahap profesional dalam negara.

APA KATA PENSYARAH?

MOHD. SHAZALI HAJI MD. SHARIF (CHEF BOB) (PENSYARAH KANAN)

“Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM dilengkapi dengan kemudahan asas untuk proses pengajaran dan pembelajaran yang lengkap dan terkini sambil disokong dengan barisan para tenaga pengajar yang berpengalaman dan mahir.

Jabatan Seni Kulinari dan Gastronomi yang terletak di bawah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan ini telah berjaya menghasilkan lebih 1500 graduan dalam bidang seni kulinari sejak dari penubuhan jabatan ini pada tahun 70an lagi.

Ia secara tidak langsung telah menyumbang dari segi penyediaan tenaga mahir kepada industri perhotelan, penyediaan makanan dan juga pendidikan. Kalau di lihat pada masa kini kebanyakan chef-chef di hotel-hotel dan juga pensyarah-pensyarah seni kulinari di kolej-kolej pengajian perhotelan adalah terdiri dari lepasan siswazah jabatan ini. Secara tidak langsung membuktikan prestasi serta kemahiran lulusan jabatan ini mendapat pengiktirafan dari pihak industri.

Kelebihan yang diperoleh pelajar yang belajar di sini ialah mereka diberi pendedahan mengenai teknik asas seni kulinari di samping pengajian asas pentadbiran, sains makanan, pengajian dan kawalan kos. Kaedah pembelajaran dan pengajaran di fakulti pula dalam bentuk teori dan amali. Ada sesetengah subjek memerlukan para pelajar melakukan field trip (lawatan) bagi mendapat gambaran jelas untuk subjek tersebut. Pelajar jabatan ini juga wajib membuat latihan industri selama enam bulan sehingga setahun di hotel-hotel tempatan atau luar negara bagi memberi pendedahan awal kepada para pelajar sebelum memasuki alam pekerjaan.

PUAN MARIA MOHD SALLEH (PENSYARAH)

“Saya telah berkhidmat di jabatan ini lebih daripada 13 tahun. Sepanjang tempoh tersebut saya melihat prestasi yang ditonjolkan oleh para pelajar terhadap bidang kulinari ini amat positif. Ini kerana saya percaya mereka memilih kursus ini kerana minat yang mendalam. Ada di kalangan pelajar saya yang sebelum ini terdiri daripada bekas pelajar jurusan arkitek, perfilemen, akauntan, pra sains dan persembahan. Mereka sangat teruja apabila mendapat peluang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda kepujian dalam bidang Seni Kulinari. Menariknya belajar di sini, kemudahan dapurnya selesa, peralatan yang mencukupi, sistem pengajaran yang menepati standard OBE serta tenaga pengajar yang berpengalaman dan berkemahiran di samping yuran pengajian yang berpatutan.

APA KATA PELAJAR?

“Saya menjurus dalam bidang Ijazah Sarjanamuda Sains (Kepujian), Pengurusan Seni Kulinari di UiTM, Shah Alam dan ini merupakan tahun pertama saya belajar di sini. Saya memilih untuk mengikuti kursus Seni Kulinari kerana kecenderungan dan minat yang mendalam terhadap bidang masakan. Program ini bukan sahaja mengajar saya teknik memasak yang betul, ilmu mengenai masakan malah turut memberi pengetahuan berkenaan pengurusan dan pemasaran. Justeru, saya menyimpan impian untuk bergelar usahawan berjaya dalam bidang pemakanan suatu masa nanti. ELLINAH RASHID, 24, PAPAR, SABAH

“Minat yang mendalam terhadap kursus kulinari membuatkan saya bertekad untuk menuntut ilmu di UiTM. Pada saya, sistem pembelajaran dan pengajaran yang ditekankan di sini amat berkesan. Lebih menarik, yuran pengajian yang dikenakan adalah berpatutan. Selepas tamat belajar nanti, saya ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang kulinari. NURUL FARHANA KAMARUDIN, 23, PASIR MAS, KELANTAN