Kolej Antarabangsa Silverspoon (SIC), ialah sebuah lagi kolej kulinari terbaru tanah air. Terletak di kawasan strategik Pusat Perdagangan One Puchong, Selangor, ia adalah cetusan idea chef terkemuka Zamzani Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Chef Zam bersama rakan kongsinya iaitu Pengarah Eksekutif Rodney Lai dan Pengarah Akademik dan Pembangunan Perniagaan Zuraida Rashid. RASA berkunjung ke kolej ini untuk meninjau kegiatan di sana.

Dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan pada Julai 2010, SIC memulakan pengambilan pelajarnya pada Ogos tahun lalu dan mampu memuatkan 200 pelajar pada satu-satu masa. Dengan kos pembinaan sebanyak RM3 juta, SIC lengkap dengan fasiliti seperti bilik kuliah, bilik komputer, dapur komersial termasuk pastri dan bakeri, ruang rehat pelajar, perpustakaan dengan kemudahan internet dan restoran.

Malahan, sebuah dapur khusus yang dinamakan Chef Zam@ Work digunakan untuk mengendalikan kursus-kursus jangka pendek dan program televisyen.

Justeru, tidak hairanlah jika SIC mampu melahirkan graduan bergelar Chef profesional suatu masa nanti kerana diketuai oleh Chef disegani dan arif mengenai dunia kulinari. Malah, Chef Zam sendiri mempunyai kelayakan dan berpengalaman mengajar melebihi 13 tahun.

Antara kursus yang ditawarkan:
1. Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 & 2 Seni Kulinari
2. Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 & 2 Pastri & Bakeri
3. Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 & 2 Perkhidmatan Makanan & Minuman
4. Program-program Skim Aprentis Industri Perhotelan

PENDAPAT PENSYARAH CHEF

ZAMRI JALAL

"Sudah hampir setahun saya berkhidmat di SIC sejak November tahun lalu. Sepanjang tempoh tersebut, saya melihat prestasi yang ditunjukkan oleh para pelajar amat memberangsangkan.

Malah, para pelajar di sini lebih beruntung kerana mereka mendapat ilmu daripada selebriti Chef selain Chef Zam seperti Chef Wan, Chef Ismail, Chef Florence Tan dan lain-lain.

Selain daripada itu, keistimewaan lainnya pula, suasana pembelajaran yang lebih selesa, kondusif serta para pelajar diberi peluang menyertai pertandingan memasak untuk menajamkan skil yang dimiliki.

Sejajar dengan bentuk pembelajaran yang diajar iaitu teori dan praktikal, para pelajar diberi pendedahan secara langsung mengenai dunia kulinari oleh pensyarah yang berpengalaman luas dalam bidang berkenaan.

Pada pandangan saya, prospek kerjaya dalam bidang ini sangat luas, para pelajar bukan sahaja menjadi Chef, food stylish malah boleh membuka perniagaan sendiri.

CHRISTOPHER YEE

"Selama menjadi pensyarah Chef di SIC, saya dapat membuat kesimpulan bahawa para pelajar yang menyertai kolej ini memang mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang kulinari. Kebanyakan pelajar menunjukkan sikap positif dan rajin belajar dan ada juga sebilangan kecil yang masih perlu diberi bimbingan. Namun, ia bukanlah satu masalah besar kerana mereka memang mahu belajar.

Pembelajaran bukan sekadar di dalam kelas sahaja, ini kerana para pelajar didedahkan kepada peluang menyertai apa jua aktiviti, acara dan pertandingan yang berkaitan dengan kulinari. Melalui aktiviti dan pertandingan tersebut, para pelajar lebih 'dekat' dan mampu menjana ilmu menerusi Chef terkenal, pensyarah mahupun pelajar-pelajar kolej kulinari yang lain.

Malahan SIC amat menggalakkan para pelajarnya menyertai pertandingan memasak atau aktiviti seumpamanya untuk meningkatkan keyakinan diri dan mengasah kreativiti. Pun begitu, kami akan memastikan pelajar tersebut memiliki sikap profesional sebelum dipilih mewakili SIC.

Nasihat saya, kepada individu yang mencintai bidang kulinari, SIC adalah lokasi ilmu yang wajar dipilih. Ini kerana yuran pengajiannya berpatutan malah kemudahannya lengkap, menepati standard industri serta sijil yang diiktiraf.

APA KATA PELAJAR?

NURSYUHADA KAMARUDIN, 17, KERAMAT, KUALA LUMPUR

"Saya memang minat memasak sejak dari kecil lagi. Sebab itulah saya melayari internet untuk meninjau kolej yang menawarkan kursus seni kulinari. Akhirnya saya memilih SIC ini kerana ia mampu merealisasikan impian saya untuk bergelar Chef Pastri suatu masa nanti. Setelah hampir setahun belajar di sini, saya sudah mengetahui teknik memasak yang betul. Mengikut perancangan, saya mahu menimba pengalaman bekerja di hotel dan membuka kedai bakeri suatu masa nanti.

NUR FATHIAH MUSA, 18, RAWANG, SELANGOR

"Minat memasak mula timbul sejak saya berusia 6 tahun. Saya berazam untuk meneruskan pengajian dalam bidang kulinari selepas tamat sekolah. Sebelum belajar di SIC, saya terlebih dahulu belajar di sebuah kolej kulinari yang lain tetapi tidak menamatkan pengajian atas sebabsebab tertentu. Bezanya, SIC ini dilengkapi dengan kemudahan pembelajaran yang mampu memberikan ilmu terbaik kepada para pelajarnya.

MUHAMMAD ZULFIKRY MD. ROSLY, 21, MUAR, JOHOR

"Saya mengambil Diploma Seni Kulinari di SIC kerana minat yang mendalam terhadap bidang kulinari ini. Kebetulan, ahli keluarga saya memang pandai memasak dan ada membuka kedai makan. Malahan, saya juga suka dengan makanan dan sering menjelajah ke tempat baru untuk mencuba aneka makanan yang enak-enak. Bagi saya SIC merupakan kolej yang menarik kerana ia diasaskan oleh Chef Zam yang memang dikenali di dalam dunia kulinari. Saya bercadang untuk bekerja dahulu dalam industri dan bercita-cita mahu menjadi pensyarah.

ALAMAT:
KOLEJ ANTARABANGSA SILVERSPOON (SIC)
12-12a, Jalan OP 1/3,
Pusat Perdagangan One Puchong,
Off Jalan Puchong,
47160 Puchong,
Selangor Darul Ehsan.
Laman web : www.silverspoon.edu.my