Industri pastri dan kofeksionari mendapat sambutan yang menggalakkan. Malahan dewasa ini, institusi yang menawarkan kursus berkenaan semakin banyak ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Namun, berbeza dengan Kolej Komuniti Selayang (KKSY) yang begitu komited untuk membantu semua peringkat umur dan golongan dengan menawarkan Sijil Modular Kebangsaan.

Program Sijil Modular Kebangsaan merupakan program latihan kemahiran jangka pendek yang berasaskan proses kerja sebenar dan direkacipta bagi membolehkan para pelajar mendapatkan kemahiran untuk memasuki pasaran kerja dalam masa yang singkat. Ia juga mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia.

Team RASA berkesempatan berkunjung ke KKSY untuk melihat sendiri keistimewaan dan kekuatan kolej ini dalam melestarikan impian warga pelajarnya untuk memberikan perkhidmatan dan produk terbaik kepada masyarakat luar.

 

PENDAPAT KETUA JABATAN & PENSYARAH

KETUA PROGRAM BAKERI & KONFEKSIONARI - RODZIAH IBRAHIM

"Saya sudah berkhidmat di Kolej Komuniti Selayang (KKSY) ini selama sembilan tahun. Program Bakeri dan Konfeksionari (B&K) ini mula beroperasi sejak tahun 2006 dan selama tempoh lima tahun ini, maklumbalas yang diterima daripada orang ramai mengenai kursus ini amat menggalakkan.

Malah sehingga tahun lepas, pelajar yang menamatkan pengajian mencecah sehingga 228 orang. Kursus B&K yang ditawarkan di kolej ini mempunyai kekuatan tersendiri. Ini kerana ia mempunyai modul yang pelbagai seperti kursus
pastri, kek dan roti. Pembelajaran pula lebih kepada hands on dan para pelajar dikehendaki untuk menjalani latihan praktikal selama enam bulan di institusi berkaitan. Selepas pelajar menjalani latihan praktikal, mereka nampak lebih berkeyakinan dan mampu menyediakan produk sendiri tanpa bantuan dan tunjuk ajar daripada para pensyarah. Selain daripada itu, yuran pengajian juga berpatutan dan bergantung kepada modul yang diambil.

Selain daripada itu, program ini juga menawarkan kursus jangka pendek untuk orang perseorangan dan organisasi seperti PERHEBAT untuk belajar . Nasihat saya kepada individu yang meminati dunia B&K, ambillah peluang yang disediakan di KKSY atau di mana-mana kolej komuniti yang lain untuk ilmu dan kemahiran sepanjang hayat.

PENSYARAH - RAHAYU TAHA

"Sejak berkhidmat selama empat tahun di sini saya dapat melihat perkembangan para pelajar dari semasa ke semasa secara puratanya amat menggalakkan. Seperti biasa, di semester pertama, penerimaan para pelajar agak lemah namun setelah beberapa lama belajar, makin ada peningkatan dan mereka menunjukkan minat yang mendalam.

Sebagai pensyarah, saya merasakan hubungan baik antara pelajar dan pensyarah amat penting. Saya rasa gembira kerana para pelajar saya walaupun ada yang lebih berusia seperti daripada PERHEBAT misalnya, mereka menghormati dan memberikan pandangan serta idea yang memberangsangkan untuk menghasilkan produk yang bermutu. Konsep pembelajaran yang saya amalkan pula mendapat kerjasama daripada para pelajar-pelajar.

Seperti biasa, saya akan mengadakan taklimat terlebih dahulu dan akan datang kepada pelajar seorang demi seorang ketika sesi memasak dijalankan. Saya memberikan mereka kebebasan untuk menyediakan produk sendiri namun dengan pemantauan. Pada saya industri B&K ini semakin berkembang. Malah tuntutan masyarakat terhadap makanan bersih dan halal kini mendapat perhatian khusus. Justeru, dengan adanya pelajar-pelajar kelahiran KKSY terutama dalam program B&K dapat menghasilkan makanan halal dan bersih menepati kehendak pasaran selain menjana pendapatan lumayan.

 

APA KATA PELAJAR?

JACKSON HO TIEN LAN, 20, CHERAS

"Sejak kecil lagi saya memang minat memasak. Ibulah yang bertanggung jawab menghantar saya belajar di KKSY. Segala maklumat mengenainya ibu peroleh melalui iklan di surat khabar. Sejak belajar di sini saya sudah boleh memasak roti, kek dan aneka pastri. Selain daripada itu, saya juga diberi peluang membantu para pensyarah untuk menyertai pertandingan berkaitan. Ia secara tidak langsung dapat menajamkan kemahiran saya lagi.

NURUL NAZMIN AHMAD NAZRI, 20, GOMBAK

"Saya memilih untuk belajar di KKSY kerana ia bukan sahaja menyediakan kursus Bakeri & Konfeksionari yang saya minati, malah dekat dengan rumah. Minat terhadap bidang makanan ini timbul sejak berumur 12 tahun. Ketika itu saya sering membantu ibu yang berniaga kuih muih secara kecilkecilan. Pengalaman menjalani latihan industri di Dynasty Hotel telah memberi banyak pengalaman berharga. Saya lulus dengan cemerlang terutama bagi subjek hiasan kek. Ini kerana saya memang gemar menghias kek terutamanya kek perkahwinan. Selepas tamat belajar, saya mahu bekerja terlebih dahulu untuk mencari modal membuka perniagaan. Selepas itu barulah saya meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.

ROHANA ISA, 41, PERHEBAT

"Sebagai anggota tentera (ATM), PERHEBAT menawarkan kursus kemahiran untuk persediaan saya selepas menamatkan perkhidmatan. Saya memilih kursus Pembuatan Roti di KKSY kerana kolej ini menyediakan kelengkapan pembelajaran yang terkini dan mencukupi. Pengalaman menyediakan roti dengan 'air tangan' sendiri menjadi sesuatu yang cukup bermakna buat saya. Bukan sahaja saya dan keluarga gemar memakan roti, malah kepuasan membuat roti sendiri adalah sesuatu yang amat bermakna untuk diri saya. Apatah lagi jika dapat disediakan untuk keluarga tersayang. Jika ada rezeki, saya dan suami mahu membuka perniagaan roti suatu masa nanti.

 

ALAMAT:
JABATAN BAKERI & KONFEKSIONARI,
KOLEJ KOMUNITI SELAYANG,
PERSIARAN PEGAWAI,
KM16, JALAN IPOH,
68100 BATU CAVES,
SELANGOR DARUL EHSAN
Laman web: www.kkselayang.edu.my