Sesekali aroma masakan yang terbit daripada van merah mencuri perhatian orang ramai yang melalui kawasan kaki lima pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara, Selangor.
Ramai juga yang berhenti meninjau-ninjau apa yang sebenarnya berlaku di dalam van itu. Bunyi sudip dan kuali berlaga pasti menarik perhatian. Sebaik makanan dimasak, mereka yang ada di situ dijamu dengan makanan yang dimasak oleh chef menggunakan produk Lee Kum Kee.
Van yang dilengkapi peralatan dapur atau lebih mudah dipanggil dapur bergerak adalah cara terbaru Lee Kum Kee Malaysia Sdn. Bhd, mempromosi produk-produk mereka kepada orang ramai di seluruh Malaysia. Menerusi kempen ‘Show Your Love Through Taste’, syarikat tersebut telah melancarkan ‘dapur bergerak’ yang menjelajah ke 70 buah lokasi di seluruh negara antaranya Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru dan sekitar Lembah Klang.
Di setiap lokasi, kakitangan Lee Kum Kee akan mengadakan demonstrasi masakan selama 60 minit dengan menyediakan sebanyak enam jenis hidangan. Sepanjang demonstrasi, chef-chef yang bertugas akan berkongsi tip-tip memasak dengan orang ramai selain mengedar makanan untuk dirasa. Jualan murah produk keluaran jenama tersebut turut dijalankan.
Menurut Pengarah Jualan Lee Kum Kee Malaysia, Singapura dan Brunei, Leong Chee Kang, menerusi idea ini, mereka mahu mendekati masyarakat dengan konsep kasih sayang.
" Lee Kum Kee mengadakan kempen dapur bergerak semata-mata meraikan kasih sayang dengan membawa lambang cinta itu kepada seluruh penduduk Malaysia," katanya.
Sementara itu, Datuk Chef Wan yang hadir dalam majlis perasmian itu turut berkongsi cerita mengenai makanan dalam keluarga. Beliau yang dilahirkan di dalam sebuah keluarga besar sering menggantikan tugas ibunya memasak di dapur.
“Saya sering menyediakan bahan-bahan mentah seperti udang kering dikisar dan bawang terlebih dahulu supaya senang ketika memasak,” ujarnya yang berpendapat produk Lee Kum Kee sangat mudah digunakan.
Dalam acara tersebut, Chef Wan turut mengadakan demonstrasi hidanganAyam Masak Kicap yang disifatkannya sebagai masakan yang mudah dan boleh dimakan semua orang termasuk kanak-kanak.
Antara lokasi terawal dapur bergerak Lee Kum Kee adalah sekitar Cheras, Jalan Klang Lama dan Petaling Jaya, sebelum menjelajah ke bahagian lain Semenanjung Malaysia.
Lee Kum Kee adalah sebuah syarikat yang mengeluarkan produk makanan seperti sos, kicap dan bahan perasa masakan dalam bentuk yang mudah digunakan. Bagi yang ingin mendapatkan informasi mengenai kedudukan terkini dapur bergerak Lee Kum Kee anda boleh melayari laman web www.lkk.com.






